Blogger news

10 August, 2012

0 Penternak lembu tergamak rogol gadis kurang siuman

ALOR GAJAH – Seorang penternak lembu tergamak merogol seorang gadis kurang siuman yang tinggal sekampung dengannya di sebuah kampung di daerah ini, kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira 10 malam kelmarin apabila gadis malang berusia 28 tahun itu dikatakan keluar dari rumah kira-kira 10 malam.

Sumber berkata, gadis terbabit bagaimanapun ditemui merayau di dalam kawasan kampung berkenaan oleh anak saudaranya kira-kira sejam kemudian.

“Mangsa ditemui dalam keadaan kusut masai dan berjalan kaki kemudian dibawa pulang ke rumahnya, sebelum mangsa membongkar rahsia kepada keluarganya dia dirogol seorang lelaki dikenali di belakang rumahnya.

“Menurut mangsa, lelaki berusia awal 40-an itu yang merupakan penternak lembu telah merogolnya," katanya,

Sumber berkata, mangsa yang merupakan anak ketujuh dari sebelas beradik mengalami masalah mental sejak berusia 23 tahun dipercayai dirogol di dalam kawasan semak berhampiran kolam air panas di kampung berkenaan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, lapan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka (IPK) pergi ke lokasi kejadian selepas menerima laporan berkaitan kejadian itu.

“Semasa tiba di lokasi kejadian, seorang suspek lelaki disyaki cuba melarikan diri sebelum ditahan anggota polis di hadapan sebuah kandang lembu di kampung berkenaan kira-kira 11 pagi.

“Suspek ditahan dan dibawa ke IPK dan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan," katanya.

Sinar

08 August, 2012

0 Lelaki cuba perkosa isteri kawan baik sendiri

ALOR GAJAH - Hanya kerana sudah lama menyimpan perasaan, seorang lelaki tergamak cuba memperkosa isteri rakan baiknya sendiri.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, mangsa terselamat namun terpaksa menerima 38 jahitan di kepala dan patah jari telunjuk kiri kerana cuba mempertahankan diri selepas dipukul dengan cota.

Mangsa, P Anjalai, 27, berkata, ketika kejadian dia sedang tidur bersama anak bongsunya di dalam bilik.

Menurutnya, empat lagi anaknya, Yogeswaran, 9; Phavitra, 8; Thiviya, 5; dan Sutharshini, 4, tidur di ruang tamu.

"Rumah saya dimasuki lelaki terbabit selepas suami, P Thenagaran, 31, keluar bekerja.

"Anak-anak tidak menyedari kehadiran lelaki terbabit sehinggalah mereka mendengar jeritan saya," katanya.

Anjalai berkata, lelaki terbabit cuba menanggalkan pakaiannya tetapi dia berjaya melawan menyebabkan suspek berang dan memukul kepalanya bertalu-talu menggunakan sebatang kayu.


"Saya meraung menyebabkan anak bongsu terjaga dan menangis sambil memaut hujung kaki saya, menyebabkan lelaki terbabit semakin marah.

"Dia ambil anak bongsu saya dan hempasnya ke katil, malah anak sulung yang cuba membantu turut ditolak sehingga terjatuh ke lantai," katanya.

Menurutnya, dalam kesakitan dia berjaya juga menyalakan lampu bilik dan terkejut melihat lelaki terbabit adalah rakan suaminya.

"Dia terkejut kerana saya dapat lihat wajahnya dan segera minta maaf sebelum larikan diri. Dia kata sudah lama simpan perasaan terhadap saya," katanya yang segera menghubungi suaminya bagi memaklumkan kejadian berkenaan.

Sementara itu, Thenagaran yang bekerja sebagai kelindan lori membawa muatan kelapa sawit di Machap berkata, dia segera membawa isterinya mendapatkan rawatan di Hospital Alor Gajah sebelum dirujuk ke Hospital Melaka.

Menurutnya, dia berkawan baik dengan lelaki terbabit sejak tujuh tahun lalu dan tidak menyangka kejadian itu menimpa isterinya.

Berikutan kejadian itu, Thenagaran membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah, kira-kira jam 6.45 pagi pada hari kejadian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superitendan Abdul Rahman Jid berkata, seorang lelaki berusia 24 tahun ditahan di rumahnya, tidak jauh dari lokasi kejadian pada hari yang sama.

“Semasa pemeriksaan, polis menemui sebatang kayu dipercayai cota patah yang ditinggalkan di rumah mangsa.

“Suspek direman empat hari sehingga 12 Ogos ini dan kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan merogol dan memukul,” katanya.

06 August, 2012

0 'Kawaq' masuk rumah masa tengah makan 'soq'

BENTONG - Sepasang suami isteri terpaksa bersahur dalam keadaan mencemaskan bila empat penyamun bersenjatakan parang memecah masuk rumah mereka di Kampung Plentong, Karak, dekat sini awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Bentong Supt Aziz Salleh berkata dalam kejadian pada pukul 4.00 pagi itu, penyamun terbabit dipercayai memasuki rumah mangsa melalui pintu depan yang diumpil menggunakan pemutar skru.

"Suspek kemudiannya mengacukan parang ke arah mangsa, masing-masing berusia lingkungan 40-an, dan mengikat mereka.

"Selepas mengikat tangan mangsa, seorang daripada suspek mengawal mangsa manakala tiga lagi menggeledah rumah mereka sebelum mengambil wang tunai RM500, telefon bimbit serta barang kemas yang ditemui dalam almari di bilik tidur mangsa," kata Aziz ketika dihubungi.

Katanya, penyamun terbabit kemudian melarikan diri masuk dalam hutan berhampiran sebelum kedua-dua mangsa berjaya membuka ikatan.

Mangsa membuat laporan di Balai Polis Karak dan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) bergegas ke tempat kejadian bersama Unit Anjing Pengesan (K-9).

Aziz berkata, selepas kejadian itu, polis menahan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an bagi membantu siasatan kes berkenaan. - Bernama

Tatabahasa : Kawaq = perompak, Soq = sahur

03 August, 2012

0 Kaki raba payudara dalam lif dicekup

Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Sikap keji seorang lelaki mengambil kesempatan terhadap jiran perempuannya dengan menyentuh buah dada mereka ketika berada dalam lif, membawa padah apabila dia ditahan kelmarin, selepas mangsa terbarunya membuat laporan polis.

Dalam kejadian jam 7 malam itu, remaja perempuan berusia 18 tahun yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat Raya Permai, Sungai Besi di sini, menaiki lif bersama beberapa penduduk lain.

Ketika dalam lif, dia ternampak seorang lelaki, juga tinggal di kawasan perumahan itu yang sering melakukan perbuatan kurang sopan terhadapnya serta mengambil kesempatan terhadap wanita ketika berada dalam lif.

Menurutnya, mangsa mendapat tahu daripada jiran lelaki itu bersikap keji bergesel dengan perempuan sebelum menyentuh buah dada mereka.




“Seperti biasa, mangsa menjauhkan diri namun lelaki berkenaan menunggu semua orang keluar dari lif sebelum menghalang mangsa menyebabkan mereka bergesel ketika remaja itu hendak keluar dari lif.

“Peluang berkenaan digunakan lelaki itu untuk meraba buah dada mangsa sebelum mentertawakannya. Mangsa yang hilang sabar dengan tindakan lelaki itu membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Besi,” katanya.

Susulan laporan itu, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Seksual dan Penderaan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur menahan suspek berusia 35 tahun itu di rumahnya kelmarin.

Harian Metro

0 (Video) Ikan paus 10 tan terdampar di Kuala Penyu

TERDAMPAR...ikan paus ditemui tersadai di pesisir pantai berhampiran Kampung Binturu, Kuala Penyu
KUALA PENYU: Usaha beberapa agensi kerajaan dengan kerjasama penduduk kampung gagal menyelamatkan nyawa seekor ikan paus seberat lebih 10 tan yang terperangkap dalam kawasan air cetek di muara Sungai Sitompak, dekat sini, kira-kira 200 meter dari sebuah limbungan kapal, semalam.

Penguasa Perikanan Daerah Kuala Penyu, Julin Bagang berkata, paus sepanjang kira-kira 17 meter spesies Balen itu ditemui pekerja Taman Pulau Tiga yang kebetulan melalui lokasi berkenaan untuk ke Pulau Tiga, kira-kira jam 9 pagi semalam, sebelum memaklumkan kepada pihaknya.




Menurutnya, spesies paus itu dikenal pasti selepas pihaknya merujuk kepada seorang pensyarah di Universiti Malaysia Terengganu.

“Kami sudah merujuk kepada pakar dan berdasarkan kriterianya, dipercayai ikan paus ini adalah spesies Balen,” katanya.

Julin berkata, paus itu mati kira-kira jam 8 malam tadi selepas pihaknya mendapati tiada sebarang reaksi daripada mamalia itu.

02 August, 2012

0 Pomen didakwa kurung dan cabul remaja perempuan tingkatan tiga

KUALA LUMPUR: Seorang mekanik dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas tuduhan mengurung dan mencabul seorang remaja perempuan berusia 15 tahun, bulan lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Chan Hwa Chez, 40, yang memakai baju kemeja kelabu mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Suzarika Sahak.

Mengikut tuduhan pertama, dia didakwa melakukan kekerasan jenayah dengan maksud mencabul kehormatan remaja itu dalam sebuah bilik di Dang Wangi, di sini, pada jam 10 pagi 7 Julai lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Bagi tuduhan kedua, dia didakwa menghalang dengan salah mangsa sama iaitu menahannya keluar dari had terlindung di tempat, masa dan hari sama.

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun dan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Suzarika yang menetapkan 3 September depan untuk sebutan semula kes itu turut membenarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin.

- Hmetro

01 August, 2012

0 Nelayan lempias nafsu serakah ke atas anak kandung OKU

MUAR 27 Julai - Angkara melampiaskan nafsu serakah ke atas anak kandung yang merupakan orang kurang upaya (OKU) sehari sebelum kedatangan Ramadan, seorang nelayan berusia 53 tahun hari ini dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebatan 12 kali.

Mahkamah Sesyen di sini menjatuhkan hukuman tersebut setelah lelaki terbabit mengaku bersalah merogol dan meliwat anaknya berusia 24 tahun di sebuah rumah di Parit Tiram di sini pada pukul 9 pagi, 20 Julai lalu.

Bagi pertuduhan merogol, dia didakwa mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum enam tahun dan maksimum 20 tahun serta sebatan.

Sementara bagi pertuduhan meliwat pula, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377C akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan.

Hakim Mohd. Fauzi Mohd. Nasir menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan sebatan enam kali bagi setiap pertuduhan serta diperintahkan berjalan berasingan dari tarikh tangkap pada 20 Julai lalu.

Terdahulu, dalam rayuan sebelum hukuman dijatuhkan, tertuduh yang tidak diwakili peguam bela memohon mahkamah tidak menjatuhkan hukuman sebat terhadapnya.

Timbalan Pendakwa Raya, Zairani Tugiran yang mengendalikan pendakwaan bagaimanapun memohon mahkamah mengenakan hukuman berat kerana perbuatan tertuduh terhadap anak kandungnya itu adalah tidak berperikemanusiaan dan menyerupai sifat binatang.

Zairani berkata, tertuduh sepatutnya melindungi anaknya dan bukan melakukan perbuatan terkutuk itu selain hukuman berat akan memberi pengajaran kepada orang awam supaya tidak melakukan perbuatan serupa.

Menurut fakta kes, pada hari kejadian, kakak mangsa melihat tertuduh membawa mangsa ke sebuah bilik dan dibaringkan di atas katil sebelum tertuduh mengambil minyak gamat lalu disapu pada kemaluannya.

Tertuduh kemudian merogol mangsa dan meliwatnya. Kejadian itu kemudian dimaklumkan kepada ibunya sebelum satu laporan polis dibuat pada pukul 9 malam dan tertuduh ditangkap pukul 10.10 malam pada hari yang sama.

About

 

Anak-Anak Jati Pulau Pinang Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates