Blogger news

01 July, 2012

0 Asal-usul nama Bongek

BONGEK – "Saya tak kecil hati kalau orang luar sukar sebut nama kampung kami ini," kata Basri Hasan, 71, anak jati Kampung Bongek, di sini.

Bagaimanapun, Basri berharap, orang ramai memperbetulkan sebutan namanya berikutan kampung berkenaan mempunyai sejarah keistimewaan tersendiri.

Basri yang kini merupakan Pensyarah (Dosen) Islamic Educational Institution Perguruan Diniyyah Puteri Padang Panjang di Sumatera Barat berkata, nama kampung berkenaan diperolehi berikutan penemuan mata air panas oleh masyarakat Minangkabau dari Acheh seawal 1773 yang ikut merantau ke situ bersama Raja Melewar.

Menurutnya, sememangnya lumrah masyarakat zaman dahulu untuk membina penempatan berdekatan sungai kerana mereka menjadikannya sebagai panduan arah laluan atau jalan ke penempatan lain.

"Berpandukan kepada sungai, empat suku utama iaitu Seri Lemak, Tanah Datar, Acheh dan Paya Kumbuh berpecah mencari penempatan sendiri. Suku Acheh telah
singgah di dua lokasi berbezayang kini dikenali sebagai Pulau Acheh dan Bongek Acheh," katanya.

Penerima Anugerah Tokoh Guru 2012 Daerah Rembau berkata, orang Minangkabau yang menjumpai mata air panas telah menggelarkan ia sebagai ‘air hangek', manakala, kedudukannya dalam paya dalam bahasa sanskritnya disebut sebagai ‘bonchah'.

"Disebabkan ia disebut sebagai 'bonchah hangek' secara berulang kali oleh penduduk, lama kelamaan sebutan tersebut disingkatkan dan menjadi nama kampung seperti
sekarang ini iaitu 'Bongek'," katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Menurutnya, kini orang ramai boleh melihat sendiri kewujudan mata air panas di kawasan paya yang terletak kira-kira satu kilometer dari jalan utama perkampungan itu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bongek, Abu Hashim Omar berkata, kampung berkenaan kini tidak putus-putus
melahirkan modal insan cemerlang dalam pelbagai bidang.

“Pernah juga saya terdengar orang mempermainkan sebutan nama kampung ini. Atas dasar itu, kita harap agar mereka-mereka ini akan mengenali serta mencari keistimewaan kampung ini sebagai antara penempatan awal dibuka di daerah Rembau," katanya.

0 comments:

Post a Comment

About

 

Anak-Anak Jati Pulau Pinang Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates