Blogger news

12 July, 2012

0 Padah simpan video lucah dalam telefon bimbit

Mohd Azam mengaku salah menyimpan 13 rakaman lucah di dalam telefon bimbit miliknya di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, semalam
KUALA TERENGGANU - Hobi bawa padah, itulah yang boleh digambarkan kepada seorang pemandu lori yang memiliki tabiat buruk menyimpan pelbagai koleksi rakaman video lucah di dalam telefon bimbit miliknya.

Bagaimanapun, tabiat tidak bermoral bapa kepada seorang anak ini membawa padah apabila dikenakan denda RM1,500 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Mohd Azam Manap @ Awang, 32, dari Pekan Sari, Tepoh, di sini, mengaku salah terhadap pertuduhan memiliki bahan lucah.

Mohd Azam mengaku memiliki 13 rakaman video lucah yang disimpan di dalam telefon jenama Nokia model 7610 di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu kira-kira jam 4.15 pagi, 31 Julai 2008.

Dia mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Ngiam Ooi Ming manakala Mohd Azam tidak diwakili peguam. Berdasarkan fakta kes, pemeriksaan lanjut polis terhadap badan Mohd Azam yang ditahan di Pejabat BSJIPD Kuala Terengganu telah menemui sebuah telefon bimbit.

Pemeriksaan lanjut terhadap telefon bimbit berkenaan, polis menemui 13 rakaman video lucah. Sebelum ini, Mohd Azam yang dibebaskan dengan jaminan gagal menghadirkan diri ke mahkamah pada tarikh yang diberikan sebelum satu perintah waran tangkap dikeluarkan bagi menahannya.

Terdahulu, Mohd Azam dalam rayuannya memohon mahkamah meringankan hukuman terhadapnya atas alasan sudah insaf dan tidak lagi melakukan perbuatan sama. Dia turut memohon mahkamah tidak mengenakan hukuman penjara atas alasan perlu menjaga seorang anak yang masih bersekolah.


0 comments:

Post a Comment

About

 

Anak-Anak Jati Pulau Pinang Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates